Social Icons

twitterfacebookgoogle plusrss feedemail

Featured Posts

Monday 16 September 2013

DIHARAP ONN HAFIZ DIBERI PELUANG UNTUK MENGGALAS TUGAS SEBAGAI EXCO #OnnHafiz4Exco

Walaupun berasal daripada keluarga politik terkenal tanah air, namun Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong Onn Hafiz Ghazi amat mesra dan senang didekati.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong dan Exco Pemuda Pusat, bertekad mahu membantu dalam memastikan Umno terus kekal sebagai pejuang tunggal bangsa Melayu dan agama Islam.

"Saya lihat bahawa parti Umno adalah satu-satunya parti yang akan terus membela nasib orang melayu dan agama Islam di negara ini. Saya ingin menjadi sebahagian daripada pasukan utama Pemuda yang akan melihat kepada nasib dan hala tuju orang Melayu muda," katanya kepada Malaysian Digest.

Onn Hafiz, 35, yang pernah bertugas di syarikat perakaunan PricewaterhouseCoopers (PwC), cicit kepada pengasas Umno (Allahyarham Datuk Onn) dan cucu kepada Perdana Menteri ketiga (Allahyarham Tun Hussein Onn) mahu berdiri di atas kaki sendiri dalam perjuangan politiknya.

Hubungan kekeluargaan sebagai anak saudara Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilihat sebagai satu kelebihan kepadanya di dalam dunia politik kerana jasa Hishammuddin sebagai mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.


“Saya telah berkhidmat dan dilatih dibawah beliau (Dato Seri Hishammuddin) selama tujuh tahun dan banyak yang telah saya pelajari. Keikhlasan untuk berjuang demi agama dan bangsa sentiasa di titik beratkan.

"Dengan pengalaman dan tunjuk ajar yang saya terima, saya rasa sudah bersedia untuk berkhidmat dan membantu Pemuda di peringkat nasional.

Ditanya tentang penerimaan anggota Pemuda Umno terhadap tawarannya untuk merebut satu daripada jawatan Exco Pemuda Pusat, Onn Hafiz berkata, penerimaan daripada anggota Pemuda Umno seluruh negara adalah menggalakkan.

"Alhamdulillah, sambutan mereka terhadap saya setakat ini adalah baik dan saya berdoa agar mendapat sokongan daripada rakan-rakan perwakilan Pemuda Umno," katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa Pemuda Bahagian Sembrong juga sebulat suara menyokongnya untuk bertanding Ketua Pemuda Sembrong bagi menggantikan Ariffin Nan yang berhasrat bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian. - SUMBER

Thursday 12 September 2013

Transformasi UMNO Bermula Dari Akar Umbi (Wawancara Bersama Antara Pos)

Perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian perlu bijak dalam membuat pilihan mereka kerana ia akan menentukan kestabilan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Exco Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan mereka di peringkat akar umbi akan menentukan kekuatan serta perubahan tonggak kepimpinan Umno dalam menghadapi pelbagai cabaran yang sedang dilalui.

"Di peringkat bahagian, di peringkat cawangan, orang yang ada kuasa mengundi ini mereka boleh memilih orang yang bawa perubahan, yang amanah dan sebagainya.

"Cuma mereka kena buat pilihan sama ada pilihan mereka menaikkan seseorang pemimpin itu adalah kerana parti dan perjuangan agama bangsa dan negara, ataupun kerana pemimpin itu boleh memberi pulangan dari segi material, sumbangan dan sebagainya.

"Maksudnya mereka kena bezakan, di peringkat cawangan sekalipun, adakah pemimpin yang mereka pilih beri nilai tambah kepada parti atau sebenarnya mereka pilih calon ini kerana kepentingan mereka sendiri,"katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau diminta mengulas gesaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta perwakilan parti menolak pemimpin “warlords” atau “demang politik” yang membolot wang, kuasa serta bertelagah sesama sendiri pada pemilihan Umno Oktober depan.

Zahid dalam akhbar New Straits Times hari ini berkata, golongan demang politik berkenaan adalah duri dalam daging kepada perjuangan parti serta menjadi penghalang kepada usaha Umno untuk memperkukuhkan diri.

Tun Faisal yang bersetuju dengan pandangan Zahid berkata, perubahan dalam Umno hanya boleh dilakukan di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin parti itu untuk mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.

Katanya lagi, pemimpin yang mengutamakan jawatan dan kuasa memang seharusnya ditolak kerana akan memberikan implikasi yang buruk kepada parti seterusnya menjejaskan usaha parti untuk mencapai kemenangan dalam PRU-14.

"Kerana dikhuatiri ianya akan menjadi wabak yang akan memperlihatkan Umno terlalu sinonim dengan politik wang sedangkan realitinya kebelakangan ini pembersihan demi pembersihan dibuat yang mana boleh dikatakan hari ini imej Umno agak bersih dari segi imej politik wang.

"Jadi kalau ada elemen yang sebegini, sewajarnya perwakilan menolak pemimpin yang mempunyai pendekatan yang sedemikian,"katanya. - ANTARA POS

WARTA RAKYAT SYNDICATE